MENU

PUTRAJAYA: Bajet 2012 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober ini adalah belanjawan inklusif yang berpaksikan rakyat dalam menuju negara maju serta ekonomi berpendapatan tinggi pada 2020.

Walaupun mengakui penyediaan belanjawan berkenaan sebagai mencabar, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata fokus kepada belanjawan itu ialah meningkatkan usaha transformasi ke arah mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dan mempertahankan kesejahteraan rakyat.
"Kita perlu menyahut cabaran menghasilkan pendekatan dan penyelesaian yang inovatif dan berani," katanya pada ucaptama sesi Perundingan Belanjawan 2012 bertemakan ‘Transformasi Bersama Rakyat' di Kementerian Kewangan, di sini, semalam.

Perbincangan kira-kira tiga jam itu membabitkan pelbagai pihak dari sektor swasta dan awam untuk memberikan input dalam penyediaan belanjawan tahun depan.
Tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM212 bilion untuk Bajet 2011, 2.8 peratus lebih tinggi berbanding Bajet 2010.

Najib berkata, kerajaan sudah menyediakan kerangka kerja dasar yang kukuh menerusi Model Baru Ekonomi (MBE) untuk mentransformasikan negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Katanya Rancangan Malaysia Ke-10 pula menggariskan strategi jangka sederhana manakala Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) meletakkan asas yang kukuh untuk transformasi ekonomi dan kerajaan.
Sejak pelancaran ETP pada 25 Oktober tahun lalu, sebanyak 54 projek permulaan (EPP), yang mewakili 41.2 peratus daripada keseluruhan 131 projek, sudah memulakan operasi membabitkan pelaburan RM106.4 bilion sekali gus meningkatkan pendapatan negara kasar kepada RM153.8 bilion dan menyediakan 298,865 peluang pekerjaan.

Sementara itu, pada sidang media, Najib berkata, kerajaan akan terus melaksanakan program yang akan memberi manfaat kepada rakyat termasuk beberapa projek yang akan dilancarkan bulan depan.

"Apabila kita merasionalisasikan subsidi tidak bermakna kita tidak mengutamakan rakyat, ia mengurangkan perbelanjaan kerajaan jadi kita mempunyai kedudukan fiskal yang lebih kukuh untuk melaksanakan projek pada masa depan," katanya.

Beliau berkata, peserta pada sesi perundingan itu faham dengan langkah ekonomi yang dilaksanakan kerajaan termasuk rasionalisasi subsidi yang dilakukan secara berperingkat dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), tetapi meminta proses mendidik rakyat ditingkatkan.

"Saya sarankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti FOMCA dan beberapa lagi menerangkan kepada rakyat mengenai kebaikan GST, supaya apabila rakyat faham dan ada penerimaan, masa itulah paling sesuai kita melaksanakannya.

"GST adalah baik kerana ada kemungkinan kita boleh mengurangkan cukai korporat dan cukai pendapatan individu... kerajaan akan melakukan tinjauan (berkaitan penerimaan) dan buat masa ini kita melakukan pendidikan," katanya.