MENU

KUALA LUMPUR 10 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta rakyat untuk bersama memberi input dalam Bajet 2012 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini.

Perdana Menteri berkata, input daripada segenap lapisan masyarakat itu amat diperlukan di sebalik negara berhadapan dengan fenomena global iaitu peningkatan kos makanan dan petrol.

Menurutnya, penyertaan mereka boleh disalurkan secara dalam talian menerusi Meja Bulat 1Malaysia di blognya, http://www. 1malaysia.com.my.

‘‘Tahun ini, rumusan bajet perlu mengambil kira fenomena global iaitu peningkatan kos makanan dan petrol. Peningkatan jumlah penduduk dunia secara pantas ditambah pula dengan usaha berterusan pelbagai negara untuk mencapai kemajuan telah meningkatkan penggunaan bahan bakar dan makanan.

‘‘Pada masa sama, pengeluar makanan dan bahan bakar sedang bergelut untuk memenuhi permintaan pengguna dan cabaran perubahan iklim dunia. Masalah ini bukan dihadapi oleh Malaysia. Banyak lagi negara yang lebih terancam akibat situasi ini termasuk ramai penduduknya yang diselubungi kemiskinan.

‘‘Sungguhpun kerajaan masih mengekalkan subsidi yang besar terhadap beberapa barangan utama untuk meringankan bebanan kewangan rakyat namun tidak munasabah untuk kekal sebegini sedang kita berusaha untuk mencapai pertumbuhan ekonomi,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam entri terbaru bertajuk ‘Bajet Untuk Pertumbuhan Berdaya Kekal' di blognya hari ini.

Najib berkata, atas dasar itu, rakyat perlu maklum bahawa negara sedang berusaha menjadi sebuah negara berstatus maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Di samping itu, ujar beliau, negara juga sedang berhadapan dengan suasana ekonomi dunia yang masih belum pulih sepenuhnya daripada krisis kewangan 2008.

Oleh yang demikian, kata Najib, penting bagi semua pihak memainkan peranan dan memberikan input mengenai Bajet 2012.

‘‘Saya amat gembira dengan input dan penyertaan yang diterima di Meja Bulat 1Malaysia dalam talian setakat ini. Topik tentang Bajet 2012 jelas mendapat perhatian rakyat.